Malam Ini Malam Berinai merupakan gubahan kata-kata cinta seorang penyair. Dalam buku ini, kita menemukan kemanisan bibir seorang kekasih dan kesetiaan hati seorang anak melalui puisi-puisi terkenal Usman Awang seperti “Kekasih”, “Ke Makam Bonda”, “Dari Bintang ke Bintang” serta “Pemuda dan Gadis Tionghua”.
Buku pertama dalam siri ini membawa pembaca yang masuk ke dalam buku ini dan keluar menyeka air mata dan mengusap ciuman di pipi. Disebabkan kepopularan puisi seperti “Kekasih” dan Dari Bintang ke Bintang”, kita cenderung untuk memandang cinta Usman Awang sebagai rindu dan berahi seorang lelaki. Namun sebelum Usman Awang menjadi penyair yang menenun “awan gemawan menjadi selendang”, dia adalah anak kepada seorang ibu yang “mempunyai seribu mimpi.” Dalam dunia Usman Awang, impian seorang ibu adalah impian sebuah negara. Justeru mencintai seorang ibu adalah sama dengan mencintai tanah air di mana kita berpijak.
Kita boleh melihatnya dalam salah satu puisi terkenal Usman Awang berjudul “Ke Makam Bonda”. Di sini Usman Awang bukan sahaja menegakkan nisan batu di pusara ibunya, tetapi dia juga menegakkan tiang-tiang dalam puisinya. Susunan rima akhir dan pembahagian baris bagi setiap stanza digubah rapi seolah-olah puisi adalah makam pusaka yang harus dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Tetapi bukan semua puisi dalam Malam Ini Malam Berinai adalah batu bersurat. Ada juga surat selepas malam berpacaran; ada juga pantun pada malam pernikahan; ada juga ucapan selamat tinggal kepada kekasih dan sajak yang dirindukan.
Reviews
There are no reviews yet