Warisan Melayu Sri Lanka merupakan kumpulan makalah-makalah tentang Melayu Sri Lanka yang dihasilkan oleh penuls-penulis Sri Lanka. Buku ini terbahagi kepada sepuluh bahagian yang mencakup sejarah umum dan budaya; hubungan Sri Lanka dangan dunia Melayu; petempatan di bandar dan desa; bahasa dan persuratan; pertubuhan Melayu di Sri Lanka; biografi tokoh Melayu; hal ehwal sosial dan budaya; masjid dan keramat; kegiatan sukan; dan juadah Melayu di Sri Lanka. Buku ini penting dalam konteks pendokumentasian dan penyebaran maklumat tentang bahasa, persuratan dan kebudayaan Melayu di daerah luar dan Nusantara iaitu daerah yang mewarisi tradisi tamadun Melayu dan yang menjadi bukti penyebaran bangsa Melayu yang luas.
Sri Lanka yang dahulu dikenal sebagai Ceylon memiliki erti yang tersendiri dalam perkembangan bahasa dan peradaban Melayu. Barangkali tidak berlebihan kami katakan bahawa berbanding dengan diaspora Melayu di rantau lain, waris Melayu di Sri Lanka merupakan kelompok yang amat jelas iltizamnya dalam upaya mengekalkan dan mengembangkan aspekaspek peradaban Melayu dalam kalangan generasi semasa, termasuk generasi mudanya. Orang Melayu Sri Lanka yang berjumlah sekitar 50,000 orang (angka sebenarnya dijangka lebih daripada itu) menggerakkan usaha melestarikan “cara hidup Melayu” melalui kegiatan persatuan Melayu Sri Lanka yang jumlahnya hampir 20 buah.
Sejarah hubungan Alam Melayu dengan Sri Lanka sudah bermula ratusan tahun lalu, dipercayai selewat-lewatnya dalam abad ke-13. Walaupun masih menjadi bahan perdebatan dalam kalangan ahli sejarah tentang kerajaan manakah dari Alam Melayu yang dikatakan memulakan usaha peluasan jajahan takluk di Sri Lanka dalam abad itu, rakaman sejarah seperti dalam babad Culavamsa menunjukkan adanya jalinan hubungan antara Sri Lanka dengan Alam Melayu sejak lama dahulu.
Sementara tarikh awal kedatangan orang dari Alam Melayu di Sri Lanka masih menjadi bahan kajian yang menarik, ahli sejarah tidak berselisih pendapat tentang migrasi orang dari Alam Melayu ke Sri Lanka pada abad ke18. Generasi awal pada abad itu terdiri daripada ketua dan anggota kumpulan yang menentang penjajah Belanda dan dipindahkan ke Sri Lanka sebagai orang buangan. Istilah orang buangan mungkin kurang manis disebut dan didengar, tetapi sejarah tidak dapat diubah dan bagi waris mereka yang menyambung kehidupan nenek moyang mereka sesudah itu malah dapat berbangga kerana nenek moyang mereka yang dibuang negeri itu merupakan pejuang kebangsaan yang mengutamakan kedaulatan negara daripada kepentingan diri.
Istilah Melayu dalam konteks di Sri Lanka cukup menarik dan sekali gus menggambarkan hakikat konsep Melayu yang difahami dan diterima selama beberapa ratus tahun. Semua orang yang datang dari Alam Melayu, meskipun mereka itu Jawa, Sunda, Aceh, Minangkabau dan sebagainya, dikenal sebagai orang Melayu. Hal ini ternyata rapat pula kaitannya dengan hakikat bahawa istilah Jawi yang difahami dan digunakan selama ratusan tahun oleh bangsa di luar Alam Melayu merujuk kepada bangsa yang datang dari Alam Melayu. Demikianlah konsep Melayu dengan pengertian yang luas itu diterapkan kepada bangsa Melayu di Sri Lanka, tanpa persoalan satuan geopolitik yang menjadi tanah asal mereka, baik Indonesia mahupun Malaysia. Sementara asal keturunan Melayu Sri Lanka dari Indonesia dipindahkan oleh Belanda, generasi Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu mula dibawa ke Sri Lanka oleh Kerajaan Inggeris melalui Rejimen Melayu pada abad ke-19.
Reviews
There are no reviews yet